Azlina yang dilahirkan di Teluk Intan, Perak terus
dibesarkan di Petaling Jaya, Selangor sehinggalah tamat
zaman persekolahan rendahnya di Sekolah Sri Petaling,
Petaling Jaya. Beliau berpeluang belajar di Bloomington
Elementary School, Indiana, USA pada tahun 1975 ke 1976.
Seterusnya menamatkan pengajian peringkat rendah di
Sekolah Sri Petaling pada tahun 1978. Keputusan
cemerlang di peringkat penilaian darjah lima telah
membawa Azlina ke Sekolah Seri Puteri, Jalan Kolam Air,
Kuala Lumpur (1979-1983). Suasana sekolah asrama penuh
yang baik telah juga membentuk keperibadian Azlina
termasuklah bakat kepimpinan dan sahsiah beliau.
Alam pendidikan Azlina diteruskan di luar negara, dan
kecemerlangan Azlina terus menyerlah apabila beliau
telah berjaya melengkapkan pengajian beliau di
ketiga-tiga peringkat pengajian universiti di salah
sebuah universiti terbaik di United Kingdom, iaitu di
Imperial College of Science Technology and Medicine di
London, United Kingdom. Azlina berjaya melengkapkan
pengajian BSc Chemistry/Bio-Chemistry pada tahun 1989,
MSc Biotechnology dan DIC Biotechnology dalam tahun 1990
dan Phd Biotechnology dalam tahun 1995.
Manusia hanya merancang, namun ketentuan ALLAH SWT yang
muktamad. Masa hadapan kerjaya Azlina di USM mula
menjadi realiti apabila beliau bertemu jodoh pada tahun
1990 dengan Ahmad Farhan Mohd Sadullah, yang pada ketika
itu sudah menjadi felow USM. Sejurus selepas
mendirikan rumah tangga, Azlina juga telah dilantik
untuk menjadi felow USM. Detik manis perkahwinan
Farhan dan Azlina ditingkatkan lagi dengan kurniaan anak
sulung mereka, Ahmad Syafeeq Imtiaz pada September
1991. Cabaran menamatkan pengajian di peringkat doktor
falsafah bersama keperluan membesarkan sebuah keluarga
yang baru memang amat mencabar, namun ia telah membantu
pasangan suami-isteri muda ini erti pengorbanan,
ketekunan dan keperluan saling bantu-membantu. Pada
tahun 1999, Azlina dan suami dikurniakan cahaya mata
bongsu yang amat dinanti-nantikan iaitu Ahmad Fawwaz
Irsyaad.
Azlina memulakan kerjaya beliau di USM pada 29 Mei 1995,
dan telah ditugaskan di Pusat Pengajian Kejuruteraan
Kimia, sebuah pusat pengajian yang baru berusia 3 tahun
pada ketika itu. Sering dilupakan, pengorbanan seorang
perintis pastinya penuh bermakna. Azlina ditugaskan
menjadi seorang Pengerusi Rancangan sebaik sahaja beliau
kembali bertugas. Dalam suasana yang masih mencari-cari
pengisian tugas seorang pensyarah, Azlina terpaksa
memikul tanggungjawab sebagai seorang pentadbir, yang
bukan sahaja perlu mempastikan program akademik di bawah
rancangannya berjalan, tetapi juga perlu mempastikan
pembangunan makmal dan peralatan serta membantu Dekan
dalam hal-hal pentadbiran umum pusat pengajian. Satu
perkara yang mungkin juga tidak diketahui generasi baru,
pada ketika itu, program akademik di Pusat Pengajian
Kejuruteraan Kimia juga meliputi program pendidikan
jarak jauh.
Kerjaya akademik Azlina tidak dapat dipisahkan dari
tugas pentadbiran. Dari seorang pengerusi rancangan,
Azlina telah dilantik sebagai Timbalan Dekan Akademik
dan Pembangunan Pelajar dari 1997 sehingga 2003.
Pastinya sukar untuk seorang pensyarah muda yang diberi
tanggungjawab pentadbiran untuk mengimbangi semua
keperluan seorang ahli akademik. Namun, hasil
kecekalan dan kualiti peribadinya, Azlina masih berjaya
menjalankan penyelidikan berimpak tinggi, walaupun tidak
secara intensif dan mendadak, tetapi secara perlahan dan
teratur. Hasilnya, di samping geran-geran dalaman
universiti, Azlina berjaya mendapat pelbagai geran
luar. Lebih-lebih lagi buat Azlina yang sebenarnya
bukan seorang jurutera kimia, yang perlu bersaing dengan
rakan rakan jurutera kimia di pusat pengajian. Saat
paling manis bagi Azlina, pastinya apabila beliau
berjaya mendapat geran MTDC berjumlah RM 2.9 juta untuk
membolehkan beliau membawa hasil penyelidikannya ke
peringkat skala pandu. Usaha yang tidak mengenal erti
kalah, untuk mempelbagaikan penggunaan teknologi enzim
untuk memperbaiki proses dan produk yang boleh membawa
manfaat kepada tamadun manusia dan persekitaran,
akhirnya berjaya menawan hati pihak MTDC yang melihat
potensi hasil penyelidikan Azlina dalam penghasilan ubat
ibuprofen yang boleh mengurangkan alahan yang sering
terhasil dari ubat ibuprofen yang konvensional. Geran
MTDC tersebut telah berjaya membangunkan "pilot-plant"
yang kini boleh menghasilkan produk ini pada kadar 500g
sehari. Kini, usaha untuk meneruskan usaha
pengkomersilan produk ini bersedia untuk ke peringkat
seterusnya.
Di samping kejayaan Azlina menggunakan teknologi
Lipase/Enzim di dalam produk farmaseutikal, Azlina juga
berjaya mengaplikasikannya kepada bidang pemakanan dan
wangi-wangian. Gabungan usaha saintifik dan
kejuruteraan yang merentasi hampir 17 tahun, Azlina
berjaya mendidik 3 graduan Doktor Falsafah, 13 Graduan
Sarjana Sains sebagai penyelia utama, menulis 65
penerbitan di dalam jurnal berwasit dan 60 penerbitan
lain. Khidmat profesional beliau dapat dilihat melalui
pelantikan sebagai pemeriksa luar tesis, pewasit untuk
jurnal-jurnal antarabangsa, penilai bagi permohonan
geran penyelidikan serta penilai untuk kenaikan pangkat
bagi beberapa universiti tempatan.
Hasil dari semua usaha yang telah diberikan kepada USM,
Azlina telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor pada
tahun 2008.
Pada tahun 2009, Azlina telah dipinjamkan ke Kementerian
Sains Teknologi dan Inovasi sebagai residen saintis.
Beliau telah mendapat pengalaman yang berharga semasa
bekerja di luar USM. Bagai mengenal mutiara yang telah
lama digilap, Azlina seterusnya dilantik sebagai Dekan
Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia pada 2010 dan telah
berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan pusat pengajian
menggunakan asas yang telah dibangunkan oleh tiga orang
dekan sebelumnya. Kini Pusat Pengajian Kejuruteraan
Kimia dianggap sebagai antara pusat akademik terbaik di
USM dan yang juga telah menerima pengiktirafan di
peringkat antarabangsa. Azlina bersyukur diberi peluang
ini dan berharap mampu untuk membantu rakan-rakan
merealisasi usaha murni USM untuk mentransformasi
pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok.
Azlina sedar, dan bersyukur bahawa kejayaan beliau pasti
tidak akan berlaku tanpa doa dan bimbingan kedua ibu
bapa tercinta, sokongan padu dari suami dan anak-anak
tercinta serta ahli keluarga dan rakan-rakan di USM
mahupun di luar.
|