LAMAN UTAMA

BIODATA SINOPSIS ATURCARA

 KEHADIRAN / RSVP

     Pada masa kini tindak balas bermangkinkan enzim kian disedari sebagai pemangkin yang mesra alam. Pembangunan pesat semenjak dua dekad yang lepas di dalam bidang teknologi enzim telah meningkatkan penggunaan enzim di industri. Lipase merupakan sejenis enzim yang boleh digunakan untuk beberapa proses biotransformasi yang meliputi industri farmaseutikal, pemakanan, tenaga dan sebagainya. Dalam syarahan ini, tumpuan utama akan diberikan kepada penggunaan lipase untuk pemisahan sebatian kiral dan aplikasinya di dalam beberapa biopemprosesan bagi menghasilan biodiesel, perisa serta pewangi.

     Bidang perubatan kini lebih tertumpu kepada penggunaan dadah berketulenan optik berbanding dadah sebatian kiral. Ini adalah kerana dadah berketulenan optik menunjukkan kesan perubatan yang lebih berkesan pada kuantiti yang lebih rendah. Penyelidikan yang merangkumi kajian dasar, mencari kaedah produksi yang terbaik, dan ujikaji pre-perkomersialan telah dijalankan bagi menghasilkan dadah berketulenan optik seperti ibuprofen, ketoprofen dan β-blocker. Penyelidikan telah dijalankan bermula daripada kajian kelompok berskala kecil sehingga dimajukan kepada kajian berskala loji pandu. Teknologi reaktor membran berenzim (EMR) telah diperkenalkan dan ia berpotensi untuk memisahkan sebatian dadah kiral secara berkesan. Reaktor ini boleh melaksanakan tindak balas dan pemisahan secara serentak, menghasilkan produk yang berketulenan tinggi dan memudahkan proses hiliran.

     Pengeluaran bahan api berasaskan tumbuhan menawarkan alternatif sumber tenaga selain daripada petroleum. Biobahan api seperti biodiesel boleh dihasilkan daripada minyak tumbuhan seperti kelapa sawit, sisa minyak masak dan juga Cerbera odollam. Kajian yang dijalankan dengan menggunakan lipase sebagai pemangkin tindak balas transesterifikasi telah menghasilkan biodiesel dengan peratus penukaran minyak yang tinggi. Diantara reaktor yang telah dikaji termasuklah reaktor lapisan terpadat dan reaktor membran berenzim. Matlamat utama transesterifikasi bermangkinkan lipase adalah bagi mengeluarkan biobahan api yang berkualiti tinggi serta mematuhi piawaian antarabangsa.

     Peranan lipase dalam mensintesis perisa dan pewangi ester juga merupakan sebahagian daripada penyelidikan bio-pemangkinan kini. Aplikasi lipase dalam mensintesis ester bernilai tinggi masih berada pada peringkat pembangunan. Perasa dan pewangi ester sentiasa mendapat permintaan yang tinggi dan digunakan secara meluas di dalam industri pemakanan, kosmetik dan famaseutikal. Setakat ini, kerja kajian lebih tertumpu kepada pengaruh awal aktiviti air, mekanisma kinetik, mengoptimumkan operasi berterusan reaktor lapisan terpadat untuk menghasilkan produk seperti farnesil laurat dan sitronelil laurat. Penyediaan lipase yang sesuai serta keadaan tindak balas yang optimum perlu dikenalpasti supaya hasil penukaran yang tinggi dan produk berkualiti boleh diperolehi.

     Kajian berkenaan potensi enzim sebagai pemangkin proses tindak balas biokimia terus berkembang dan perlu terus diterokai. Aplikasinya di dalam pelbagai konfigurasi reaktor menjadikannya lebih istimewa bagi menggantikan proses pemangkinan konvensional yang kian disedari sebagai pembawa krisis tenaga dan juga pencemaran alam sekitar. Keadaan ini akan terus memandu teknologi enzim bergerak ke hadapan. Penerangan lebih lanjut berkaitan tajuk-tajuk yang lebih menarik akan dibentangkan dalam syarahan umum yang akan datang.


©2025 PPKT, USM Kampus Kejuruteraan.